YAN: Dua empangan sabo yang akan dibina di kawasan Titi Hayun, Yan dan Tupah, Kuala Muda bermula pertengahan Januari tahun hadapan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Jun 2023.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek yang menelan kos sebanyak RM22.8 juta itu akan berperanan sebagai penampan atau pengempang bagi pergerakan kayu dan batuan bersaiz besar semasa aliran air deras di kaki Gunung Jerai.

Menurutnya, kedua-dua kawasan rekreasi yang terlibat itu akan ditutup sepenuhnya kepada pengunjung bagi memastikan kelancaran projek tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa, selain pembinaan empangan sabo, sistem amaran aliran puing yang dikenali sebagai Sistem Amaran Banjir Kepala Air (SABKA) akan turut dibangunkan di kedua-dua lokasi tersebut pada pertengahan tahun depan.

Jelasnya, projek itu akan memberi manfaat penduduk setempat daripada risiko kehilangan nyawa melalui kaedah pengawalan aliran batu, kayu dan sedimen semasa kejadian aliran sungai yang tinggi seperti fenomena kepala air.

"Insya-Allah projek ini dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan (menelan) kos lebih kurang RM22.8 juta, ada dua kawasan akan dibina (empangan sabo) satu di kawasan titi hayun, dan satu lagi di Tupah dan konsep ini akan diguna pakai bagi atasi masalah banjir atau kepala air yang berlaku,

"Insya-Allah selain daripada sabo dam, Kementerian setuju supaya siren amaran awal akan dipasang. Ini sebenarnya akan dilaksana di seluruh negara terutama di kawasan rekreasi bagi memberi amaran awal kepada pengunjung sebelum berlaku satu bencana," kata Tuan Ibrahim pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Empangan Sabo kepada kontraktor di Titi Hayun, Yan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan sistem amaran terbabit turut akan dibangunkan di kawasan rekreasi lain di seluruh negara khususnya lokasi yang berisiko berlakunya bencana kepala air.